Sunday, May 5, 2013

Nafsu buku

Banyak juga yang saya ingin tulis. Saya memang dah lama benar tak bersenang-senang menaip apa-apa yang saya fikir. Berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC kali ini membuat saya berfikir banyak bila sudah kembali ke rumah. Pesta kali ini memang benar-benar saya ber'pesta'.

Saya sendiri takut menjumlahkan wang yang saya belanjakan. bayangkan saja, satu booth saja boleh habis RM 100. dan ada satu gerai yang saya kunjungi sehingga dua kali. Senarai yang saya bawa, tak panjang mana. Sampai di sana, saya benar-benar seperti hilang akal waras.

 Benarkah ada orang yang tidak waras, boleh membaca buku?

 Setiap kali saya singgah ke mana-mana booth,sambil memegang buku yang saya jatuh minat, saya akan berfikir;
"Adakah saya bersama nafsu atau malaikat untuk menjadikan buku ini hak saya?"

Sedang saya tika itu sudah menyandang satu beg besar di belakang yang penuh dan satu lagi saya sangkutkan ke bahu saya(ysang sebenarnya dua beg yang sudah saya satukan). Benar. Adakah membeli buku ini sebahagian nafsu saya? atau adakah ia keperluan? adakah membeli buku ini membenarkan malaikat sebelah kanan saya mencatit, ataukah sebelah kiri yang tak menang tangan bekerja?

 Tapi untuk meninggalkan buku itu kesepian setelah saya genggam, memang menyakitkan.

 Sebenarnya saya kena bebel dengan ibu saya kerana memborong sebegitu banyak buku seperti saya baru lepas merompak kedai buku(walaupun tiada dalam sejarah dunia perompak berlari menggendong seguni buku)
 Akhirnya saya membuat satu kesimpulan, inilah kepuasan saya.

 Saya pernah menerima 'ceramah' percuma dari seorang penjual baju. Beliau mempertikaikan sikap sahabat saya yang berbolak balik ketika mahu membeli jubah jualannya.

 "Untuk apa adik kerja penat-penat kalau kepuasan adik tidak tertunai? kalau akak, rasa rugi bila kita boleh beli keranan mampu, tapi kita tahan. Duit dalam tabung, kita simpan, nanti kita guna juga. Tapi, tiada apa kepuasan yang kita dapat"

Saya pada tika itu,yang tak berminat dengan apa-apa barangan beliau pun, berfikir, "Apakah kepuasan pada aku?"

 Memanglah seperti tidak warak saja apa yang dimaksudkan oleh kakak itu. Sepertinya dunia ini memang untuk kepuasan diri saja. Sedangkan saya teringatkan kata-kata Ustaz Aznan- manusia tidak pernah puas dengan dunia sehingga tanah kubur masuk ke mulutnya.

 Takut tak?

 Lalu kemudiannya aku beristighfar. Sambil menyedapkan hati,diam-diam saya berbisik di dalam hati, saya hanya membeli buku sahaja. Tidak mengapa-ngapa,kan?

Saya bukan membeli baju atau kasut, atau emas,kan? Saya juga tak duduk-duduk menyedut Tutti frutti atau Snogurt yang lekat di lidah hanya beberapa saat saja itu,kan?

 Bukankah wahyu pertama adalah menyuruh kita membaca? Saya sangat berharap bisikan saya itu membuatkan malaikat pencatit kejahatan memadamkan amalan yang tadinya bersifat pseudo-nafsu.

 Kan? silalah angkat tangan untuk menyokong hati saya yang berbolak balik ni.




 
                                              Antara tangkapan yang masuk ke jaring.


Tangkapan paling menarik. 
(sempat jugaaa)